Wednesday 29 June 2011

Karnival Lembah Lenggong Ke Arah Warisan Dunia(Unesco)

 
Karnival Lembah Lenggong Ke Arah Warisan Dunia(Unesco) telah diadakan di Dataran Lenggong pada 26 Mei 2011 hingga 29 Mei 2011.Acara ini telah  disempurnakan oleh DYTM Raja Muda Perak Dr. Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah .Karnival ini dijalankan sebagai mempromosi Daerah Lenggong ke arah pencalonan Tapak Warisan Sejarah Dunia.

Peringatan

Pemberitahuan Operasi Kutipan Tunggakan Cukai Taksiran,Sewa Premis & lesen Perniagaan akan diadakan pada bila - bila masa
Sila jalankan tanggungjawab anda.Kerjasama anda amat dihargai
 
Maksud logo Majlis Daerah Lenggong.

Warna
Ada 3 warna yang digunakan iaitu:-

a) Putih :Bekerja dengan jujur dan mendukung konsep "Bersih, Cekap, dan Amanah"
b) Kuning:Kesetiaan kepada Raja dan Negara
c) Hijau :Melambangkan kawasan pertanian yang subur dan dihiasi dengan daun teh yang merupakan projek   kebanggaan di daerah ini satu ketika dahulu

Lambang

a) Bulan dan Bintang
 Melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi.

b) Lapan penjuru bintang
 Lapan cawangan Majlis Daerah iaitu Kuak, Raban, Gelok,Selat Pagar, Ayer Kala, Padang Grus, Kota Tampan, dan Lenggong yang bercantum di bawah Majlis Daerah Lenggong.

c) Bulan 
    Melambangkan penyatuan dalam mewujudkan Majlis Daerah L enggong yang dapat menyinari kesemua Majlis Daerah.

d) Perkataan `Bersatu Teguh'   
  Melambangkan dengan penyatuan lapan cawangan ini, Majlis Daerah Lenggong akan bertambah kuat, dan cekap dalam menjalankan pentadbiran harian bagi memberi perkhidmatan kepada rakyat secara lebih maksima.

MDLg Ditubuhkan Pada...

Majlis Daerah Lenggong ditubuhkan pada 1 Disember 1979. Keluasan kawasan pentadbiran berjumlah 9,590 hektar dengan jumlah penduduk seramai lebih kurang 17,000 orang. Pekan Lenggong adalah pusat pentadbiran yang terletak ditengah-tengah kawasan iaitu disebelah selatan 62 km. dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan sebelah utara 57 km. dari Gerik iaitu Pusat Pentadbir bagi Daerah Hulu Perak. Majlis Daerah Lenggong merangkumi 10 kawasan iaitu: Ayer Kala, Selat Pagar, Padang Grus, Rancangan Perumahan Awam Gua Badak, Rancangan Perumahan Awam Gelok, Pekan Lenggong, Kg. Kota Tampan, Taman Kota Tampan, Pekan Raban dan Pekan Kuak. Keluasan kawasan adalah seluas 60. 8km persegi. Dengan luas kawasan operasi ialah 3km persegi dan luas kawasan kawalan ialah 57. 8km persegi.

Asal Usul Lenggong

Menurut cerita-cerita mulut, kononnya pada zaman dahulu ada seorang Semang hendak menebang sepokok kayu yang besar.  Mengikut ceritanya pokok itu sebesar empat atau lima pemelok. Oleh kerana pangkal pokok itu keadaannya berbanir, jadi susahlah hendak menebangnya.  Si Semang tadi berusaha pula membuat pelenggar (iaitu suatu tempat bertanjak untuk menebang pokok).

       Dengan bersusah payah ia menebang, akhirnya tumbanglah pokok itu. Tetapi malangnya pokok yang ditebang oleh Semang itu menimpa sepokok kayu yang lain yang terkecil sedikit daripadanya.  Pokok yang kecil itu patah dan menyebabkan pokok yang ditebang itu terlanggong di atasnya.  Batang kayu yang terlanggong itu, tinggallah di situ hingga beberapa lamanya.  Akhirnya tempat itu dinamakan "Langgong".  Lama kelamaan nama "Langgong" itu berubah mengikut pelat sebutan menjadi "Lenggong", kekal nama itu hingga sekarang ini.

        Ada pula yang menceritakan, orang yang mula-mula meneroka hutan rimba dan mendiami di daerah Lenggong ini ialah seorang Semang juga yang bernama "Lenggong", jadi nama Lenggong yang ada pada hari ini ialah mengikut nama orang Semang yang tersebut itu.

        Suatu cerita lagi, konon asalnya terbit nama Lenggong ialah kerana keadaan tempatnya seolah-olah terdinding atau terlengkong oleh bukit-bukit dan banjaran gunung.  Jadi tempat tersebut dikenal dengan nama "Lengkong".  Akhirnya berubah pula sebutan "Lengkong" itu menjadi "Lenggong".